Details
  • My Favorites
 
VOP Code: Letter89 Print click here
Category:
Malay Manuscript
Size:
23 x 21.3 cm
Title:
Permintaan Sultan Abdullah beli 10 buah meriam kecil serta tali, kain layar dan sauh
Keywords: Harga, meriam, perahu, 3 Syaaban,
Manuscript No.: SOAS MS 40320/9, f.6,
Year:
1785 - 1794
Source: Archives and Special Collections SOAS Library
- http://www.soas.ac.uk/library/archives/contact/
Copyright Information:

Transliteration:

Al-Mustahaqqah Surat tulus ikhlas berkasih kasihan yang tiada berkesudahan daripada beta sampai kepada sahabat beta Gurnador Pulau Pinang yang akil bijaksana telah masyhur ke mana2 kemudian daripada itu ahwal adalah perahu jahat2 banyak di laut perbuat haru hara akan segala perahu2 orang ki tiada boleh pergi mari ke Pulau Pinang dan jajahan negeri beta ini maka beta hendak suruh lengkapi perahu pergi ke Payar tiada bermeriam yang kecik2 itulah beta pinta pada sahabat beta meriam besi kecik2 panjang tiga hasta barang sepuluh pasang dengan harga serupa sedikit serahkan pada Syahbandar Seri Maharaja Paduka beri mari maka harganya itu beta bayar dengan timah atau rial jika tiada had pada sahabat beta pun pinta dengan penolong sahabat beta cahari beli pada kapal2 yang mari dari Benggala atau sahabat beta pesan pergi suruh cahari beli di Benggala tatkala sampai sahabat beta hantar mari besarlah penolong sahabat beta itu maka akan pekakas kapal tali dan kain layar dan sauh sahabat beta beri mari itu telah sampailah pada beta sudahlah beta suruh Saudagar Raja terima ambil maka harganya itulah beta pinta dengan harga serupa sedikit sahabat beta buat daftar dengan tentunya beri mari boleh beta ketahui banyak dikitnya kerana surat sahabat beta beri mari dahulu itu tiada khusus dengan sebab Hakim Bandar duduk sakit mata tiada boleh surat itulah beta pinta sahabat beta beri mari surat yang khusus ahwal itulah beta nyatakan pada sahabat beta buat surat hari Khamis tiga hari timbul bulan Syaaban tamat al-kalam tamat


Malay Description:

Surat Sultan Abdullah kepada Francis Light berkenaan perahu penjenayah yang banyak terdapat di laut dan melakukan kekacauan menyebabkan orang Kedah tidak boleh berulang alik antara Pulau Pinang dan Kedah. Baginda ingin melengkapkan perahu dengan meriam kecil. Justeru, baginda memohon untuk membeli 10 buah meriam besi kecil sepanjang 3 hasta dengan harga yang murah dan diserahkan meriam itu kepada Syahbandar Seri Maharaja Paduka. Harga meriam itu akan dibayar dengan timah atau duit rial. Sekiranya meriam itu tiada di Pulau Pinang, baginda meminta agar dibeli dari Benggala. Baginda turut meminta dibelikan peralatan kapal yang lain seperti tali, kain layar dan sauh dan diberikan kepada baginda menerusi Saudagar Raja. Baginda meminta agar disenaraikan segala barang belian tersebut beserta harganya dan dihantarkan surat itu kepada baginda. Surat ini telah siap ditulis pada hari Khamis, 3 Syaaban.


Summary:

Sultan Abdullah`s letter to Francis Light was about the canoes which were carrying the criminals on the waters, disturbing the people thus resulting in the people being fearful of travelling, to and from Pulau Pinang and Kedah. The Sultan wanted to equip his canoe with small cannons. So he requested to buy 10 small cannons, 3 `hasta` at a low price and give them to Syahbandar Seri Maharaja Paduka. The price for it was payed with tin or reales. If there were no cannons in Pulau Pinang he suggested that they were bought in Benggala. The Sultan also asked other equipments for the ship such as the rope, the sail, and anchor, to be given to him, through Saudagar Raja. The Sultan asked to write the price list of all the things he bought and send it in a letter to him. This letter was completed on Thursday, 3rd Syaaban.

 
Terms and Conditions
 
Copyright © 2010 Visions of Penang archives online.
All rights reserved.
Hit Counter: powered by IS Eleven Services